6/16/2012

Surat Terbuka Buat Sultan Ibrahim



Assalamualaikum Tuanku.

Saya tampil dalam kehangatan isu pada hari ini yang melibatkan murka Tuanku kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin.  Saya dimaklumkan Tuanku murka lantaran kenyataan DS Nizar Jamaluddin yang yang diputar-belitkan oleh media tempatan kononnya tidak bersetuju dengan tindakan Tuanku membeli plat kereta WWW 1 dengan harga RM 520,000 ringgit . Saya utuskan surat ini sebagai  tanda perhatian saya dan semoga Tuanku beroleh hidayah Allah. Saya mulakan pesanan saya kepada Tuanku agar meningkatkan ketaqwaan kepada Allah taala.

Sebelum saya menulis lebih jauh. Saya ingin memperkenalkan diri saya. Saya hanyalah seorang pemuda biasa yang tiada punya harta. Saya tiada rumah, tiada juga kereta . Saya tiada pengawal, apa lagi pasokan tentera [klik]. Saya hanya memiliki sebuah motor kapcai dan tidak juga motor berkuasa tinggi . Hidup saya makan pagi kais pagi. Namun Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas segalanya.

Saya dididik agar hanya takut kepada murka Allah dan tidak selain-Nya. Saya juga dididik agar hanya patuh kepada arahan Allah. Hanya Allah yang boleh mendatangkan manfaat, dan Allah juga yang mampu mendatangkan mudharat. Saya juga telah mendengar dari lidah para ulamak akan sepotong hadis Rasulullah yang terkenal:

“Tiada kepatuhan kepada makhluk dalam urusan maksiat kepada Allah.”

Makhluk di sini membawa makna segala yang selain Allah. Selain dari Allah, termasuklah sekelian raja dan sultan, sekelian Presiden dan Perdana Menteri. Sekelian apapun! Patuh kepada makhluk hanyalah kerana patuh kepada Allah semata-mata. Patuh kepada Sultan hanya dalam perkara makruf dan kebaikan. Raja atau sultan bukanlah Tuhan di muka bumi. Bahkan haram membesarkan diri.

Saya juga mengerti akan risiko yang akan dikenakan kepada saya. Saya mungkin akan didakwa, dipenjara, diugut, dan segala macam. Namun saya pernah mendengar sepotong hadis Rasulullah para ulamak yang mulia:

أ فضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر

“Seafdhal-afdhal jihad adalah berkata kalimat yang HAQ di hadapan sultan yang zalim.” - Hadis

Inilah sunnah orang yang menegur pemerintah. Mereka boleh diperlakukan apa sahaja. Maka oleh yang demikian saya sudah tidak peduli akan apa yang bakal menimpa saya. Saya telah persetankan semua itu. Oleh yang demikian, hendaklah Tuanku perhatikan benar-benar kisah yang akan saya mahu ceritakan ini. Saya ingin membawa sebuah kisah yang terjadi di zaman Rasulullah SAW untuk ingatan Tuanku.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah makan di rumah Abu Ayyub Al Ansory RA. Baginda telah dijamu dengan pelbagai jenis makanan. Ada pelbagai jenis tamar, roti dan daging. Maka Baginda Rasul telah makan. Usai makan, Baginda menangis teresak-esak. Sahabat kehairanan.

“Ya Rasulullah kenapa kamu menangis Rasulullah? Bukankah kita baru usai makan?”
Seorang sahabat telah bertanya kehairanan. Apakah Rasulullah masih lapar? Tidak mungkin Rasul menangis kerana lapar. Maka jawab Rasulullah yang mulia:
“Aku menangis kerana mengenangkan makanan yang terlalu banyak ini. Dan kita akan ditanya oleh Allah akan makanan ini di hari akhirat kelak.”

Nah! Lihatlah bagaimana Baginda Rasul begitu bersungguh menjaga makanan Baginda dari membazir. Dan kita sedia maklum bahawa makanan Rasulullah sangat lah sederhana. Kerana Baginda tahu bahawa setiap rezeki Allah itu akan ditanya kembali oleh Allah dari mana sumbernya dan ke mana ia dihabiskan. Bahkan haram hukumnya kita membazirkan harta kita untuk perkara yang sia-sia.

Saya juga telah membaca akan sepotong ayat Al Quran yang berbunyi seperti berikut:

"Sesungguhnya, orang yang membazir itu adalah saudara syaitan." (al-Isra' 27).

Ini bukanlah kalam saya, tetapi kalam Allah Taala jua. Oleh yang demikian, saya ingin memberitahu tuanku bahawa perbuatan Tuanku membeli plat WWW 1 dengan harga RM 520,000 adalah HARAM di sisi Islam sekalipun ia adalah duit Tunku sendiri. Ya, saya ulangi lagi ianya HARAM sekalipun duit itu duit Tuanku. Kerana sekeping plat kereta itu tiadalah memberi apa-apa manfaat kepada rakyat Tuanku. Juga tidak memberi manfaat kepada Islam yang mana Tuanku sebagai ketuanya di Negeri Johor.

Sebagai akhirnya, patik ingin mengajak Tuanku kembali menginsafi bahawa kita manusia tiadalah bezanya di sisi Allah. Yang membezakan kita hanya tingkatan taqwa. Ya! Kalau seorang hamba itu bertaqwa, maka dia lebih mulia dari Raja yang kurang takwanya. Begitulah sebaliknya. Dan haruslah Tuanku ingat bahawa kita semua akan berdiri di hadapan Allah di hari akhirat dan kita akan dihisab setiap amalan kita. Semoga Tuanku beroleh petunjuk. Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Mohd Muin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...